Thursday 7 April 2016

Jiwa tenang tidak rasa dengki


Sebagai orang yang mengaku dirinya beragama Islam dan beriman kepada Allah, kita harus mengetahui dan mengakui hakikat bahawa nikmat itu adalah anugerah Allah. 

Jika kita ingin berhasil dan berjaya seperti orang lain yang berhasil dan berjaya, hendaknyalah kita berpindah pandangan kepada Allah subhanahu wataala, meminta kurnia dan rahmat dari-Nya, kerana gudang-gudang nikmat dan rahmat-Nya bukan untuk dimonopoli oleh seorang hamba sahaja tetapi adalah untuk semua makhluk-Nya.

Seterusnya kita harus memulai setiap usaha dengan doa dan usaha yang padu. Nabi Sulaiman telah meminta kurnia dan rahmat Allah dengan berdoa seperti yang terdapat di dalam al-Quran yang tafsirnya:  

Firman Allah SWT bermaksud: "Ya Tuhanku! Ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seorang jua pun sesudahku. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pemberi." (Surah Shaad, ayat 35).  

Kita sebagai kaum muslimin hendaklah selalu berdoa agar kita dan keturunan kita memperoleh ketenangan jiwa dan kebahagiaan hidup mencari anugerah Allah dengan melalui usaha dan ikhtiar yang merupakan perkara yang wajar, bukan dengan sikap iri hati dan dengki. Sedangkan cita-cita seseorang yang ingin sama orang lain; memiliki kenikmatan seperti yang dimiliki orang lain adalah wajar.

Dalam hal ini Rasulullah SAW telah menunjukkan sesuatu yang patut ditempuh dengan cara berlumba-lumba mencari dan mendapatkan kurnia Allah.

Sabda baginda yang bermaksud: "Tidak boleh iri hati kecuali dalam dua perkara iaitu seorang yang diberi oleh Allah nikmat harta kekayaan lalu dipergunakannya untuk mempertahankan hak (kebenaran) dan seorang yang diberi oleh Allah nikmat ilmu hikmat lalu dipergunakannya dan diajarkannya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Hasad golongan intelektual Hasad acapkali berlaku dalam kalangan golongan terpelajar atas sebab dengki dengan pencapaian orang lain. Namun, saya mahu khususkan kepada skop agamawan dan juga parti politik. Kita lihat hari ini ramai dalam kalangan agamawan yang hasad antara satu sama lain.

Sebab itu timbul fitnah-memfitnah, label-melabel berpunca daripada sifat ini. Tidak kurang ahli politik yang dengki kepada kejayaan parti yang lain hingga sanggup membuka aib lawannya di kalayak umum.

Oleh itu, golongan intelektual perlu ambil perhatian untuk lebih berhati-hati kerana sejarah telah membuktikan di mana ahli kitab tidak mengiktiraf Rasulullah walhal mereka mengetahui kebenarannya. 

Allah berfirman: Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Muhammad.” (Surah Al-Baqarah, ayat 109)                                            

No comments:

Post a Comment