Saturday 18 November 2017

JANJI DIANGGAP KONTRAK WAJIB DITUNAI


Di segi undang-undang, janji dipanggil kontrak yang menghendaki pihak terbabit mematuhinya.  Ikatan kontrak dilakukan secara bertulis dan menepati syarat tertentu.  Jika tidak dipatuhi kontrak, hal itu boleh dibawa ke mahkamah untuk diadili dan ditentukan hak pihak-pihak mengikat kontrak.

Janji yang biasa tidak ditepati ialah berkaitan hutang.  Tidak menunaikan janji berkaitan hutang melibatkan dua kesalahan.  Pertamanya tidak tunai janji dan keduanya tidak menjelaskan hutang. 

Oleh itu urusan hutang mesti ditulis dengan jelas.  Rekod itu untuk dijadikan bukti dalam urusan pembayaran hutang oleh siberhutang sendiri, atau jika dia meninggal sebelum sempat menjelaskan hutang itu, adalah menjadi tanggungjawab waris menjelaskan hutang menggunakan harta pusaka yang ditinggalkan.

Firman Allah bermaksud: “Wahi orang-orang yang beriman!  Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga tempoh sesuatu masa tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa membayarnya) itu.  Dan hendaklah seorang penulis antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 282).

Biarpun janji mesti ditepati, tetapi tidak berdosa jika gagal disebabkan perkara-perkara tidak dapat dielakkan atau diduga akan berlaku.  Maksudnya, ketika berjanji memang ikhlas ingin ditepati.  Bahkan, usaha untuk menunaikan janji tidak dilakukan, tetapi tidak terdaya seperti dijanjikan.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila seseorang berjanji dengan saudaranya dan dia berniat akan menepati janji itu, tetapi dia tidak memperolehi jalan untuk menepatinya, maka tidaklah dia berdosa.”  (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Sesiapa gagal menepati janji sesudah berusaha, tidak boleh lepas tangan begitu sahaja.  Sebaiknya hubungilah pihak kedua untuk memaklumkan mengenainya.  Berikan penjelasan secara jujur mengapa janji itu tidak dapat ditepati.  Jika perlu, buatlah satu janji baru bagi menggantikan janji asal.

Cara demikian dapat mengelak salah faham pihak kedua.  Pihak kedua pastinya dapat menerima alasan yang diberikan jika pihak pertama benar-benar ikhlas.  Hubungan sesama Muslim perlu dijaga agar tidak berlaku perkara yang boleh menyebabkan ia retak dan putus. 

Amalan patut dilakukan ketika berjanji ialah menggunakan perkataan ‘insya-Allah’.  Maksud perkataan insya-Allah ialah ‘dengan izin Allah’, yakni segala apa yang akan berlaku hanya berjaya jika diizinkan Allah.

Namun, perkataan insya-Allah tidak boleh dipermain-mainkan untuk memperdayakan orang lain agar mempercayai janji yang dibuat.  Allah mengetahui apa tersimpan dalam hati setiap orang.

Firman Allah bermaksud: “Apakah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu tidak mengetahui (segala-galanya perkara yang kamu zahirkan dan rahsiakan?), dan Dia Maha Halus (urusan pentdbiran-Nya), lagi Maha (mendalam) pengetahuan-Nya.” (Surah al-Mulk, ayat 14). 

Sesungguhnya hubungan sesama manusia akan lebih terjamin dan sempurna jika setiap orang yang berjanji menunaikan janjinya.  Jika kerbau dipagang pada talinya, maka manusia dipegang pada janjinya.

No comments:

Post a Comment